Label Cloud


Udang galah sepit biru jadi buruan pemancing


Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Sungai Muar sememangnya terkenal sebagai lokasi udang galah bersepit biru yang menjadi buruan nelayan dan pemancing berikutan isinya dikatakan paling sedap berbanding tempat lain.

Sepanjang muara Sungai Muar sehingga ke hulunya di sempadan daerah Segamat dikatakan mempunyai beberapa lubuk yang menjadi tempat pembiakan udang galah.

Sejak berpuluh tahun dulu lagi, Sungai Muar menjadi tumpuan nelayan dan pemancing, terutama setiap cuti hujung minggu atau hari kelepasan am untuk memancing udang galah.


Udang galah di kawasan itu yang boleh dijual sehingga RM35 sekilogram bergantung kepada saiz, sukar didapati di pasar awam kerana sebahagian besarnya sudah ditempah pengusaha restoran atau untuk hidangan keluarga.

Keenakan spesies udang galah bersepit biru turut menggamit penduduk luar daerah ini mencuba nasib dan kemahiran memancing udang.

Mereka datang membawa sampan gentian kaca sendiri atau menyewanya daripada penduduk tempatan, selain menggunakan khidmat mereka untuk mengenal pasti lubuk udang galah berkenaan.

Penggemar udang itu sanggup menyusur sehingga berpuluh kilometer ke hulu sungai untuk mencari lokasi terbaik melabuh joran, terutama lokasi tumpuan di sekitar Bukit Gambir, Panchor, Pagoh, Lenga, Bukit Kepong dan Kundang Ulu.

Bagi penduduk bandar Muar pula, selain di muara, Jambatan Sultan Ismail juga menjadi lokasi terbaik melabuhkan joran terutama pada waktu malam sehingga ada yang sanggup berjaga sepanjang malam semata-mata untuk merasai pancing disentap udang galah.

Kegilaan memancing di kalangan pengail membuatkan ada di antara mereka yang sanggup mendirikan khemah untuk bermalam di tebing sungai sambil memancing dan menikmati udara segar.

Menyedari keistimewaan udang galah, pertandingan udang galah diadakan di Kampung Parit Jarum Laut, Bukit Gambir, baru-baru ini berjaya menarik penyertaan 80 pemancing, termasuk daripada luar daerah Muar.

Pertandingan anjuran Komuniti Bestari Kampung Parit Gani dengan kerjasama Pejabat Penerangan Tangkak dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang itu bertujuan mempromosikan Sungai Muar sebagai lokasi kegiatan memancing udang galah.

Pertandingan yang diadakan selama empat jam itu berjaya memperoleh lebih 10 kilogram udang galah termasuk yang bersaiz besar.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, hamper dan piala itu disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Tangkak, Zaid Md Amin dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Mat Zan Abu.

Hamim ketika berucap pada majlis itu berharap, pertandingan memancing udang galah itu menjadi kegiatan berterusan bagi mempromosi kawasan pesisiran Sungai Muar, sekali gus menjadi tarikan pelancong.



Katanya, kawasan perkampungan di tepi Sungai Muar boleh dijadikan sebagai lokasi homestay dan kawasan pemancing yang sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada penduduk tempatan.

"Udang Galah Sungai Muar, terkenal di seluruh negeri menyebabkan ia menjadi tumpuan pemancing dan menyedari keadaan itu, kita perlu mengambil langkah menyediakan kemudahan bagi menarik lebih ramai pemancing dengan menyediakan pakej memancing.

"Kegiatan memancing udang galah itu boleh dijadikan sebagai peluang ekonomi penduduk kerana ia menjadi tarikan pemancing dan kita boleh menyediakan perkhidmatan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata, kawasan Kampung Parit Jarum Laut, berpotensi dibangunkan untuk kegiatan memancing udang galah dan mampu memberi sumbangan ekonomi.

Sementara itu, Zaid berkata, pihaknya bercadang menjadikan pertandingan memancing sebagai kegiatan berterusan dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan.

"Ini kali pertama pertandingan memancing udang galah dijalankan dan kita bercadang menganjurkan lebih banyak pertandingan seumpama itu dalam usaha mempromosikan lagi Sungai Muar.

"Jumlah tangkapan udang galah sepanjang pertandingan itu membuktikan Sungai Muar adalah lubuk udang galah dan ia boleh menjadi tarikan kepada kaki pancing," katanya.

Petikan sumber dari Berita Harian 29 November 2007

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin