Label Cloud


Kuala Rompin Bandar Udang Galah

Kuala Rompin semakin pesat dengan pelbagai aktiviti laut dan darat serta keindahan persekitaran yang menyegarkan pasti memikat pelancong

MELIHAT matahari terbit dari laut selepas Subuh di Kuala Rompin Pahang, memang menyegarkan mata sekali gus melapangkan fikiran.

Terletak di Daerah Rompin, Kuala Rompin semakin menjadi sebutan sebagai destinasi pelancongan mahupun kaki pancing yang mengenali Kuala Rompin sebagai “Bandar Udang Galah”.

Jolokan nama bandar itu yang dikaitkan dengan udang galah bukanlah satu omongan kosong atau legenda. Datanglah ke Kuala Rompin dan berkunjung ke Kampung Leban Chondong, kira-kira 16 kilometer dari bandar itu, anda boleh menikmati masakan udang galah dalam pelbagai rasa.

Tumpuan pelancong antarabangsa kini bukan saja untuk menikmati udang galah di bandar itu, sebaliknya mencuba gelanggang Laut China Selatan yang menempatkan ikan layaran serta marlin untuk dipancing.

Hobi memancing ikan layaran dan marlin menjadikan Kuala Rompin pusat sukan memancing baru yang menarik, malah dikatakan ikan layaran besar pernah ditemui di perairannya. Satu daripada lokasi jajaran ikan layaran terbesar di Asia, selain Amerika Syarikat dan Australia.

Royal Pahang Billfish International Challenge telah meletakkan Kuala Rompin sebagai pusat sukan memancing dunia dan mencuri tumpuan pemancing antarabangsa.

Laut China Selatan yang terbentang dan mempunyai beberapa lubuk ikan seperti Karang Do, Karang Cha, Karang Bubu, Batu Kerapu, Tukun Tayar, Batu Tok Keramat menjadi tumpuan kaki pancing kategori laut. Mereka bukan sekadar memancing sebaliknya kaki pancing mencari kemahiran atau keseronokan berada di tengah lautan yang membiru.

Keadaan ini menjana pendapatan penduduk tempatan untuk menjadi pengusaha bot pelancongan serta membawa pelancong bergembira dan menikmati keindahan di tengah Laut China Selatan itu sambil memancing. Banyak pemancing tidak mendaratkan hasil tangkapan seperti ikan layaran dan marlin, sebaliknya mereka cuma mencari kepuasan dan teknik memancing yang betul. Ikan dilepaskan kembali ke laut setelah diambil gambarnya.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin