Label Cloud

Sungai Timun lubuk udang galah


Oleh
Mohd Amin Jalil
aminjalil@hmetro.com.my


MAHU memancing udang galah 24 jam sambil menikmati keindahan flora dan fauna yang belum tercemar? Semuanya ini boleh diperoleh apabila anda memilih pakej memancing di Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan.

Kelainan dan keseronokan dapat dirasakan jika anda memilih lokasi berkenaan kerana penganjur iaitu Persatuan Nelayan Sungai Timun (PNST) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Timun menyediakan kemudahan penginapan di dua chalet serba lengkap di pangkalan sungai terbabit.


Memancing udang galah pasti berbeza dengan memancing ikan. Justeru ramai kaki pancing bukan saja daripada kalangan penduduk Negeri Sembilan malah dari luar seperti Shah Alam, Kuala Lumpur dan Melaka yang tidak melepaskan peluang ke sungai itu untuk merasakan nikmat memancing udang galah.

Setiap hujung minggu dan cuti umum, dari seawal terbit matahari hingga ke lewat petang, pasti di pesisir sungai itu dipenuhi bot milik kaki pancing yang menanti penuh tekun untuk mendapatkan udang galah.

Setiap kali mereka turun ke sungai itu, ia tidak pernah mengecewakan kerana jika tidak banyak pun, sekurang-kurangnya antara dua ke lima kilogram udang mampu diperoleh untuk tempoh separuh hari memancing.

Malah bagi mereka yang sanggup berada lebih lama, lebih daripada 15 kilogram udang galah mampu diperolehi.

Bagaimanapun, memancing udang galah tidak sama memancing ikan kerana faktor air sungai memainkan peranan penting dan jika pada waktu itu keadaan airnya keruh, mungkin sukar mendapat lebih tetapi jika keadaan airnya jernih, kepuasan pasti terserlah.

Sungai di kaki Gunung Datuk itu boleh dituju melalui jalan Seremban-Rantau-Linggi-Lubuk Cina iaitu kira-kira 85 kilometer dari bandar Seremban.

Malah jalan ke sungai itu selesa serta boleh dilalui dengan kereta sehingga ke pangkalan sungai berkenaan.

Sebelum turun ke sungai, kaki pancing boleh mengisi perut terlebih dulu dengan menjamu selera di gerai sedia ada di pangkalan itu dengan pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak.

Pengerusi PNST, Alias Busu, berkata pihaknya menyediakan bot atau perahu berenjin dan jurupandu untuk kaki pancing menyewa dengan kadar yang munasabah bergantung pada tempoh memancing.

Menurutnya, kaki pancing akan dibawa ke kawasan lubuk udang galah yang selalunya tidak mengecewakan mereka.

"Kita mempunyai banyak perahu atau bot untuk memberi perkhidmatan kepada kaki pancing. Sambil memancing mereka boleh menikmati keindahan alam semula jadi, mendengar kicauan unggas rimba dan deruan air sungai," katanya.

Walaupun sungai berkenaan sudah lama wujud, ia baru saja dikenali ramai selepas kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menjadikan kawasan itu salah satu destinasi pelancongan dengan aktiviti memancing udang galah sebagai tarikan utama.

Katanya, bagi memastikan udang galah tidak pupus di sungai itu, pihak berkenaan melepaskan benih udang galah secara berperingkat. Sejak Januari lalu hingga kini, sebanyak 150,000 benih udang galah sudah dilepaskan.

"Benih udang berkenaan dijangka membesar dalam tempoh enam bulan dan kami difahamkan jabatan terbabit sudah mensasarkan untuk melepaskan kira-kira 300,000 benih udang setahun.

"Setakat ini, sambutan kaki pancing amat memberangsangkan sehingga kadangkala tidak cukup perahu atau bot untuk mereka," katanya yang menyambut baik langkah kerajaan untuk memajukan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Alias di talian 019-6230051

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin